SOALAN KBAT -- TANAH RUNTUH

KECUAIAN PUNCA TANAH RUNTUH DI LEBUHRAYA

MAHAMERU -  PAKAR

KUALA LUMPUR: Kecuaian dilihat menjadi punca utama berlakunya kejadian tanah runtuh di Jalan Mahameru, di sini petang Selasa.

Insiden itu boleh dielakkan sekiranya kerja mengukuhkan cerun bukit di kawasan berkenaan dibuat mengikut amalan kejuruteraan yang baik.

Pakar Geologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Tajul Anuar Jamaluddin, antara lain melihat runtuhan berlaku kerana sisa tanah hasil kerja pengukuhan dibiar terkumpul di atas cerun terbabit.

"Jadi tanah yang dipotong daripada atas dilambakkan dibahagian tengah cerun tanpa dimampatkan memang berkeadaan sangat longgar, mudah diresapi air dan mudah menjadi tepu terutama apabila hujan lebat.

"Jadi apa yang berlaku semalam hujan lebat, tanah menjadi tepu dan seterusnya mengalir ke bawah. Sebab itu apa yang kita lihat semalam keadaan tanah yang runtuh itu seperti aliran atau lebih sesuai dipanggil aliran lumpur." katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Jelas Dr Tajul keadaan ini diburukkan lagi dengan ketiadaan sistem perparitan yang sempurna.

"Sistem pengaliran sementara ini memang kena ada, sewaktu sebarang kerja-kerja pembinaan cerun untuk mengelakkan bahan-bahan kerja tanah diresapi air. Tapi itu tiada, kalau kita lihat di permukaan cerun masih ada lagi kesan-kesan mata air keluar. Itu menandakan cerun ini tiada sistem saliran yang sempurna."

Ekoran pemerhatiannya itu, Dr Tajul menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) segera membersihkan sisa tanah yang dilihat masih terkumpul di atas cerun berkenaan di samping membina sistem perparitan sempurna.

Beliau bimbang sekiranya langkah itu tidak diambil segera, satu lagi runtuhan akan berlaku jika kawasan berkenaan terus dilanda hujan lebat.

Mengulas pandangan Dr Tajul, DBKL memberitahu Awani proses mengalih sisa berkenaan memang menjadi keutamaan mereka.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran, DBKL Tan Keng Chok menjelaskan kerja pembersihan akan dilaksanakan segera sebelum kerja mengukuhkan cerun berkenaan disambung semula.

Katanya kelemahan sistem perparitan juga akan diperbetulkan bagi mengelak insiden berulang.

"Masalah yang utama yang menyebabkan hakisan adalah disebabkan oleh sistem saliran. Dulu memang tak sempurna jadi sekarang kita akan buat beberapa longkang supaya air boleh dialirkan dan tidak menyebabkan tanah itu tepu dan menggelongsor."
Sebagai langkah berjaga-jaga DBKL akan meletakkan dua barisan benteng konkrit bagi mengelak tanah terus memasuki jalan raya sekiranya berlaku runtuhan susulan.

Projek pengukuhan cerun berkenaan sebelum ini dilakukan selepas ia runtuh pada Mei tahun lepas.

Keng Chok percaya runtuhan kedua ini tidak akan menjejaskan kerja-kerja mengukuhkan cerun berkenaan dan projek itu dijangka siap mengikut jadual iaitu pada 30 Mac 2014.

SUMBER:  astro awani

...........................................................................................


Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan berikut:

1.  Pada pendapat anda, sejauhmanakah fenomena di atas disebabkan oleh tindakan manusia?

2.  Fenomena di atas menimbulkan pelbagai kesan terhadap aktiviti manusia. Jelaskan.

3.  Sekiranya pembangunan perlu dilakukan di kawasan cerun, apakah pendekatan yang perlu anda  lakukan untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan