SOALAN KBAT -- PROJEK MRT

Projek MRT siap 61%, pembinaan terowong selesai



Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata kerja pembinaan terowong telah pun siap sepenuhnya manakala kerja bawah tanah, termasuk pembinaan stesen, mencapai kemajuan 76%, melebihi jangkaan awal pada tahap 74%.

MRT fasa pertama sepanjang 51 kilometer dari Sungai Buloh ke Kajang menyediakan 31 stesen dan mampu memberi perkhidmatan kepada 1.2 juta pengguna  di sepanjang laluan. – Bernama, 21 April, 2015.


"Ini (tahap kemajuan) berjaya dicapai hasil kecekapan kerja serta jalinan  kerjasama sesama pekerja," katanya kepada pemberita selepas majlis peringatan penyempurnaan kerja pembinaan terowong di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Shahril berkata kerja pembinaan MRT dari Sungai Buloh ke Jalan Semantan, dijangka siap pada hujung tahun depan, manakala kerja pembinaan dari Jalan Semantan ke Kajang dijangka siap pada Julai 2017.

Sementara itu, MRT Corp akan mengadakan paparan awam selama tiga bulan untuk projek MRT fasa kedua bermula pertengahan bulan depan di 15 lokasi terpilih.

Katanya MRT Corp menjangkakan akan memperoleh kelulusan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat untuk pembinaan projek berkenaan yang merangkumi perjalanan dari Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya beberapa bulan selepas paparan awam, dengan kerja pembinaan dijangka bermula pada suku pertama tahun depan.
Sementara itu, Phesal berkata MRT mampu memacu Kuala Lumpur untuk menjadi bandar bertaraf dunia.

Kata beliau MRT mampu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam yang akan mendatangkan pelbagai manfaat, khususnya menjimatkan perbelanjaan, mengurangkan kesesakan lalu lintas dan risiko kemalangan di jalan raya.

"Oleh itu, projek MRT sebagai pengangkutan awam bertaraf dunia akan memberi banyak manfaat kepada orang ramai di Lembah Klang, yang dijangka mampu menjadi penyelamat kepada masalah kesesakan lalu-lintas," katanya.

Beliau berkata kawasan permukaan bagi laluan MRT bawah tanah boleh digunakan untuk pembangunan lain, sekali gus memaksimumkan manfaat kepada penduduk.

MRT yang menggunakan ruang yang minimum lebih mesra pengguna dan dapat mengurangkan pencemaran alam, sekali gus mewujudkan bandar yang lebih lestari.





Berdasarkan petikan dari suratkhabar dan video di atas, jawab soalan-soalan berikut:

1.  Apakah kepentingan pembinaan MRT kepada pembangunan ekonomi di Malaysia?

2.  Terangkan faktor yang mempengaruhi pembinaan MRT.

3.  Kenapakah Bandaraya Kuala Lumpur memerlukan sistem pengangkutan MRT?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan